BUAH DARI POHON CAHAYA | BUAH DARI POHON CAHAYA | 27
(1-86)

Kembalikan harta yang diterima itu kepada pemiliknya, nescaya keuntungannya akan berlipat ganda!

Keuntungan pertama: Milik sementara menjadi kekal. Hidup yang tidak kekal ini bila diserahkan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa akan dipergunakan untuk menjunjung nama-Nya dan menjadi kekal abadi. Ia akan menghasilkan buah abadi. Saat-saat kehidupan seseorang itu akan menghilang atau seperti benih yang membusuk, kemudian akan merekah kuntum kesucian yang akan bersemi dalam kerajaan abadi.

Keuntungan kedua: Sebagai balasan ia diberikan syurga yang penuh dengan kenikmatan.

Keuntungan ketiga: Nilai setiap anggota dan indera berlipat ganda seribu kali. Misalnya kecerdasan. Jika kamu tidak menjualnya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa dan hanya mempergunakannya untuk kepentingan diri sendiri, maka ia menjadi alat yang membahayakan dan melemahkan tenaga sehingga membebani dirimu dengan pengalaman dan kenangan pahit masa lalu dan akan merasa cemas terhadap masa hadapan yang menggerunkan. Sebagai alat, nilainya akan merosot kerana rosak dan tidak berharga lagi. Oleh itu, manusia yang bergelumang dengan dosa sering mencari “keselamatannya” dengan minuman keras dan mengumbar nafsu kerana melarikan diri dari penyakit yang dideritai oleh kecerdasannya. Sebaliknya jika kamu menjual kecerdasanmu itu kepada Pemiliknya yang sah dan menggunakannya demi Allah Taala, maka kecerdasan itu menjadi kunci yang membuka khazanah harta kebijaksanaan dan kearifan.

Contoh lain ialah deria mata. Ia seumpama tingkap yang melalui jiwa untuk memandang ke luar rumah. Jika kamu tidak menjualnya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa tapi hanya memakainya untuk kepentingan peribadi sahaja iaitu memandang sejemput kecantikan serta pemandangan lain yang sementara lagi fana, maka nilai mata itu merosot hingga ke tahap yang paling rendah. Itulah jiwa yang gemar akan berahi dan nafsu shahwat semata-mata. Jika kamu menjual mata itu kepada Yang Maha Pencipta dan menggunakannya demi Dia dalam batas-batas yang ditentukan-Nya, maka nilai mata tersebut akan naik ke tingkat orang yang mengaji kitab suci dan menjadi saksi bagi keajaiban hidup ciptaan Tuhan.
No Voice